Teman Di Alam Barzakh
[Taken from Pelita Brunei, 7th June 2006, Bilangan 23, page 5, "Menuju Keredaan Allah"]
Riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Anas Radiallahuanhu menceritakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Bersabda: "Ada tiga perkara yang mengiringi mayat apabila mayat tersebut hendak dikembumikan, iaitu kaum keluarga, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan kembali dan tidak ikut serta masuk ke kubur, sementara yang satu lagi akan terus bersama si mayat."
Di dalam hadis ini menerangkan yang semua benda bernyawa di muka bumi ini akan merasai mati termasuk manusia, jin dan malaikat. Kita bersama jin dijadikan atau diwujudkan supaya mengakui yang Allah itu adalah Tuhan yang sebenar Pencipta Alam termasuk langit dan bumi. Dia menyediakan rezeki kepada semua makhluk-Nya secara percuma tanpa apa-apa bayaran dan oleh kerana itu adalah tidak wajar akan jin dan manusia ingkar dengan perintah Allah Subahanahu Wata'ala.
Dengan rahmat-Nya manusia dan jin diberikan akal untuk berfikir dengan perkara baik. Selain itu diberikan juga penglihatan untuk melihat perkara yang berfaedah, nikmat pendengaran untuk mendengar perkara yang baik. Oleh yang demikian adalah tidak wajar untuk mereka kufur kepada Allah pemberi segala nikmat. Akan tetapi bagi yang mengkufurkan nikmat Allah dan tidak melakukan amalan salih akan ditimpa azab dan akan ditempatkan dalam Neraka.
Allah mengutus Nabi bagi menyampaikan ajaran-Nya kepada umat manusia. Daripada anjuran ini Nabi menyatakan yang Allah akan memberi ganjaran baik dan Syurga kepada mereka yang membuat amalan salih dan beriman kepada Allah.
Sebagai manusia yang dijadikan sempurna dari segala sudut, di mana rupa bentuk kita lebih cantik daripada pelbagai jenis binatang. Kita juga dikurniakan nikmat dapat berfikir yang mana baik dan buruk.
Di samping itu dengan akal fikiran yang dikurniakan, manusia dapat ilmu pengetahuan untuk memajukan hidup dan akan dapat memahami dengan jelas ajaran agama yang suci, supaya dapat dipelajari dan dipraktikkan dengan sempurna.
Ilmu pengetahuan akan mempermudahkan manusia mencari rezeki dan harta kekayaan dengan cara yang baik dan diterima agama, di samping itu harta akan dapat digunaka ke arah bidang kebajikan dan ibadat agar mendapat gajaran yang baik daripada Allah. Allah subahanahu Wata'ala menggalakkan mereka memiliki harta berlebihan untuk membantu golongan-golongan yang sangat memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim dan lain-lainnya.
Sememangnya harta benda sangat berguna kepada manusia dan adalah digalakkan agar kekayaan itu dicari dengan baik dan halal.
Sesungguhnya dunia ini adalah tempat sementara kita dan untuk kita membuat amal ibadat untuk akhirat, akan tetapi kita juga diseru mencari harta kekayaan untuk kehidupan kita sehari-hari setentunya dengan cara yang baik dan diredai Allah. Yang penting apabila mendapat kekayaan janganlah kita lalai, menunaikan tanggungjawab kepada Allah seperti sembahyang lima waktu, puasa dan lain-lainnya. Tanpa mengerjakan sembahyang, semua amalan-amalan kebajikan kita tidak akan mendapat ganjaran yang seharusnya, kerana sembahyang itu adalah tiang agama.
Janganlah kita cuai akan tanggungjawab kita terhadap Allah, kerana semua kita akan mati yang mana akan hilanglah peluang kita membuat amal ibadat, kecuali tiga perkara: sedekah jariah yang masih dan dapat digunakan oleh mereka yang masih hidup; ilmu pengetahuan dan anak salih kepada kedua-dua iu bapanya.
Sebagai seorang yang beriman semestinya kita melakukan semua yang berfaedah di dunia. Semua harta kekayaan di dunia, keluarga dan anak isteri akan kita tinggalkan. Hanya ilmu pengetahuan yang telah diamalkan dan amal kebajikan yang baik kepada Allah akan sentiasa bersama kita dan akan menjadi penyelamat daripada seksa kubur dan seksa api Neraka.
|